Home Top Ad

Kertas 2 SPM Soalan Rumusan - Kebaikan Makan Coklat

Share:
Soalan Rumusan SPM
Gambar hiasan


Soalan 1 : Rumusan

[30 markah

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan makan coklat dan cara-cara memajukan industri coklat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
  

Sejak turun-temurun, coklat telah digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan dan minuman yang digemari oleh semua peringkat umur daripada segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia. Pada zaman dahulu hanya orang yang berada dapat menikmati coklat. Pada masa itu, coklat ialah makanan yang dikhaskan untuk raja-raja, perwira dan pembesar negara. Kini, coklat yang dihasilkan daripada buah koko itu dapat dinikmati oleh semua orang. Hal ini menyebabkan industri berasaskan koko semakin berkembang dan menjadi sumber ekonomi kepada banyak negara.

Coklat mempunyai kandungan serat yang tinggi, karbohidrat, antioksidan, kalsium, fosfat dan Vitamin A, B, C dan D. Mengikut kajian sains, pengambilan coklat dapat melegakan otot. Namun demikian, sekiranya diambil secara berlebihan, coklat boleh menyebabkan otot menjadi terlalu rehat sehingga asid perut mudah masuk ke dalam esofagus, iaitu bahagian saluran makanan yang terletak di antara tekak dengan perut. Keadaan ini boleh mengakibatkan kecederaan dalaman kepada manusia. Hasil penyelidikan pula mendapati bahawa coklat dapat memberikan perasaan gembira yang amat sangat kepada pemakannya. Perasaan gembira dapat dirasai ketika coklat mencair di dalam mulut.

Hasil kajian mendapati bahawa ketika makan coklat, aromanya mampu merehatkan minda seseorang. Di samping itu, pengambilan coklat juga dapat menimbulkan perasaan relaks kerana bahan kimia teobromina yang terdapat dalam coklat boleh memberikan rangsangan psikologi seolah-olah diri sentiasa bertenaga. Walau bagaimanapun, bahan kimia yang memberikan kesan relaks kepada manusia itu boleh menjadi racun kepada banyak haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan kuda. Hal ini terjadi kerana haiwan peliharaan tidak mempunyai sistem penghadaman yang dapat melakukan proses penguraian terhadap bahan kimia tersebut.

Manfaat lainnya ialah coklat mampu melanjutkan usia seseorang yang selalu memakannya. Kajian mendapati bahawa sekiranya manusia mengunyah coklat tiga kali sebulan, mereka diramalkan dapat hjdup setahun lebih lama daripada orang yang tidak memakan coklat langsung. Selain itu, coklat boleh mengurangkan risiko serangan strok kerana fungsinya yang dapat mencairkan darah dan mengelakkan darah daripada membeku di dalam jantung. Penghidap asma juga digalakkan supaya memakan coklat untuk melegakan saluran pernafasan di dalam paru-paru. Kandungan bahan kimia dalam coklat yang diambil juga sesuai untuk melegakan batuk. Namun begitu, manusia perlu berhati-hati kerana pengambilan coklat yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti.

(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Sains di Sebalik Coklat’
oleh Saharil Hasril Sanin, Dewan Kosmik, September 2007)

Pendahuluan

Petikan membincangkan _(kata kunci pertama – tukar perkataan sinonim) __(skop petikan) .

Contoh. 

Petikan membincangkan faedah / manfaat / keistimewaan makan coklat kepada kesihatan manusia.

Menulis isi-isi tersurat.

i.         Pelajar boleh mengenal pasti isi-isi tersurat yang terdapat di dalam petikan seperti mana arahan atau kata kunci pertama dalam soalan.
ii.       Pelajar diingatkan bahawa di dalam petikan soalan kelazimannya terdapat 10 isi.
iii.      Bukan semua isi tersurat harus ditulis kembali oleh pelajar. Pelajar hanya disarankan agar menulis maksimum tujuh isi tersurat.

1.         Coklat mengandungi pelbagai jenis zat seperti serat dan vitamin
2.         Memakan coklat boleh melegakan otot
3.         Pemakan coklat akan berasa gembira
4.         Aroma coklat mampu merehatkan minda pemakannya.
5.         Pengambilan coklat dapat menimbulkan perasaan yang relaks.
6.         Memakan coklat dikatakan boleh memanjangkan usia seseorang.
7.         Coklat yang boleh mencairkan darah mampu mengurangkan risiko serangan strok.
8.         Mampu mengurangkan asma kerana coklat boleh melegakan saluran pernafasan.
9.         Kandungan kimia dalam coklat boleh melegakan batuk.

Isi-isi Tersirat (Cara-cara memajukan industri coklat)
 
1.         Memberi galakan kepada petani untuk mempertingkatkan hasil koko negara.
2.         Membuka kawasan penananam baharu bagi tanaman koko.
3.         Mempelbagaikan kegunaan coklat dalam industri makanan negara.
4.         Memperluas pasaran coklat kepada semua pengguna.
5.         Mengkaji harga bahan-bahan berasaskan coklat di negara kita.
6.         Memberi penjelasan kepada pengguna tentang diet coklat.
7.         Peranan iklan atau media untuk menghebahkan kepentingan dan keistimewaan coklat.


Kesimpulan

Tema petikan + Ayat berbentuk cadangan (supaya/agar) Ayat berbentuk harapan.

Kesimpulannya, pelbagai pihak mesti menyokong industri coklat di negara kita supaya industri ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara. 



No comments